Di sekitar tahun 1980an, ada seekor beruang bernama Tony yang tinggal bersama kawan-kawan bujangnya di sebuah rumah bujang yang terletak di Kampung Pandan. Tony bekerja sebagai seekor beruang sarkis di sebuah sarkis yang terletak di berdekatan rumahnya. Kerana terlalu penat melompat gelang api dan menunggang basikal satu roda sepanjang malam, Tony biasanya gemarkan tidur, terutamanya tidur yang berpanjangan (atau terma saintifiknya, hibernasi).
Pada suatu hari, setelah berhibernasi selama 3 hari 3 malam, Tony bangun dengan perasaan lapar yang amat sangat dalam perutnya. Walaupun terasa sebegitu lapar, sebagai seekor beruang yang beretika, Tony masih, dengan penuh disiplinnya, mandi wajib dan menggosok gigi sebelum menjamah makanannya di meja makan. Setelah sudah kering setiap bulu pada badannya, Tony pun menuju ke dapur rumahnya dengan harapan kawan-kawannya ada meninggalkan makanan dari semalam.
Tony membuka peti sejuk. Alangkah terkejutnya apabila Tony mendapati yang peti sejuknya kosong, air kosong setitik pun tiada. Apabila dia membuka almari dapur, sama juga...segala-galanya kosong. Yang ada, hanyalah semangkuk nasi kosong do bawah tudung saji. Tony mendakap mangkuk itu ke hidungnya, baunya boleh tahan, walaupun nasi dari semalam, masih boleh makan lagi. Tony melihat sekelilingnya mencari lauk yang boleh menemani nasi kosongnya. Langsung tiada, yang ada hanya kicap pekat dan garam halus... 'Bleahhh, kalau sekadar kicap dan garam, tak payahlah, apa kelas', kata Tony. 'Saya rasa kalau begini, saya nak pergi ke bandar cari makan lah' tambahnya. Ketika ini, Tony tiba tiba terasa pelik, dia bertanya bagaimana seekor beruang seperti dirinya boleh pandai bercakap. Dan jika beliau begitu pandai bercakap, kenapa pula dia masih melompat gelang api dan menunggang basikal? Bukanka seekor beruang yang pandai bercakap lebih menarik dari seekor beruang yang boleh melakukan aksi aksi ngeri. Beliau hairan.
Disebabkan kehilangan selera melihat nasi kosong itu, Tony segera menaiki bas mini nombor 25 ke Menara Maybank di bandaraya Kuala Lumpur. Perut Tony semakin lapar. Ketika sampai ke bandaraya, Tony segera mencari warung makan di lorong lorong belakang di Jalan Tun H.S. Lee. Terdapat banyak warung warung makan di lorong lorong belakang di bandaraya, namun tiada satu yang menarik citarasanya. Bukan setakat itu, lorong lorong belakang yang sebegitu kotor itu kian memualkan dia... seleranya kehilangan.
Beliau terus berjalan sehinggalah ke perkarangan Jalan Silang (yang sekarangnya digelar Jalan Tun Tan Siew Sin) dimana mana beliau terbeliak melihat huruf M berwarna kuning yang sebegitu besar itu. Air liurnya meleleh, jus perutnya bergelora. Tanpa berfikir panjang, Tony terus memasuki restoran McDonalds yang berhawa dingin itu. 'Burger keju, kentang goreng, dan air Coke' katanya kepada pelayan di kaunter restoran itu. '6 ringgit 28 sen' jawab pelayan itu. Tony menyeluk tangannya kedalam saku meraba raba mencari duit... alangkah kecewanya beliau apabila mendapati yang beliau hanya mempunyai wang sebanyak 2 ringgit 30 sen sahaja. Dengan rasa segan, Tony menanya pelayan itu 'Kalau nak kentang goreng sahaja berapa yea?', '1 ringgit 92 sen' jawab pelayan itu. 'Kalau begitu, nak kentang goreng sahajalah'.
Di suatu sudut, Tony terjumpa sebuah tempat duduk yang kosong. Tanpa mambazir masa, Tony segera membaham segala gala kentang goreng yang ada pada penghidangnya. Dalam masa kurang dari 2 minit, maka habislah kentang gorengnya. 'Begitu sedap sekali' fikirnya... 'walaupun tanpa mencecah kicap tomato atau sos cili'. Begitulah nasib Tony, setiap kali beliau makan di restoran makanan segera, beliau akan melupakan tentang sos sos kerana saiz paketnya yang kecil dan saiz tangannya yang besar menyukarkannya untuk membuka paket paket sos di sana. Tambahan pula jarinya semua pendek pendek belaka.
'Ah...' kata Tony sambil meraba perutnya dengan rasa puas. Namun, Tony masih berasa lapar. Apa kan tidak, hanya kentang goreng sahaja, mustahil ia boleh mengenyangkan seorang manusia, apatah lagi seekor beruang dewasa yang tingginya 6 kaki 7 inci. Tapi, apakandaya, duit di kocek tidak cukup, hari pun sudah mahu lewat. Tony bercadang untuk balik ke rumah sahaja agar beliau boleh sambung tidur, alang alang boleh melupakan rasa laparnya.
Setelah sampai ke perhentian bas, Tony meraba koceknya untuk mengambil tambang bas. Alangkah terkejutnya apabila beliau mendapati yang beliau hanya tinggal 38 sen sahaja. Tambang bas mini nombor 25 60 sen. Mana cukup? Beliau terfikir untuk menanya orang ramai untuk sedekahkan kepadanya duit 30 sen kalau boleh. Tapi memang mustahil, until beliau berbuat begitu, maruahnya terlalu tinggi, lagipun, apabila beliau cuba bercakap dengan orang lain, mereka biasanya lari lintang pukang... terkejut melihat seekor beruang yang boleh berkata kata.
Oleh itu, dengan hati yang berat dan perut yang lapar, beliau membuat keputusan untuk berjalan kaki balik ke rumah.
Tony berjalan...
Sudah 3 buah bas mini nombor 25 melaluinya....
Beliau masih berjalan... sang suria semakin rendah...
Beliau masih berjalan... hari sudah pun gelap...
Beliau kepenatan.
Sudah 2 jam berjalan, barulah belaiu sampai ke pintu rumahnya di Kampung Pandan. Kepenatan beliau tidak terhingga, kelaparannya pula, tidak terkata. Namun begitu beliau hanya mahu tidur sahaja.
Apabila Tony masuk ke dalam dapur rumahnya, matanya bersinar melihat sebiji mangkuk diatas meja makannya. Kelihatan di sudut matanya, nasi putih yang ditinggalkannya siang tadi. Tanpa membazir masa, Tony mencapai mangkuk itu dan menghabiskan nasi itu dengan gelojoh.
Perut Tony kenyang, hatinya senang, Tony kembali tidur di katilnya bermimpikan mimpi indah yang mengukir senyuman di bibirnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment